CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

jum kita tengok sapa yang kena?

website-hit-counters.com
Website counter from www.website-hit-counters.com .

Thursday, May 14, 2009

UNIMAS ku gemilang

UNIMAS merupakan universiti kelapan yang pertama ditubuhkan sesudah wawasan 2020 diilhamkan dan mula menerima pelajar perintis seramai 120 orang dari segenap pelosok negara sekitar awal Julai 1993.

Hasrat untuk menubuhkan UNIMAS telah diumumkan pada 1 Oktober 1992 apabila Menteri Pendidikan pada masa itu, YB Tan Sri Datuk Amar Dr Sulaiman Haji Daud melantik Profesor Dato’ Zawawi Ismail sebagai Naib Canselor pengasasnya dan diperbadankan pada 24 Disember 1992. Sebagai universiti yang bermula sifar, beberapa kakitangan perintis telah diambil dan sebuah pejabat telah dibuka di Pusat Bandar Damansara Kuala Lumpur. Pejabat pertama di Kuching telah dibuka pada April 1993 di Rumah Setia di dalam kawasan Taman Budaya dan merupakan nadi penggerak segala perancangan pembangunan universiti.

Apabila universiti membuka pintunya kepada kumpulan pelajar sulung dengan 30 orang staf akademik, ini menandakan bermulanya langkah pertama bagi sebuah universiti yang akan melalui perjalanan panjang yang berliku, tetapi pasti. Dua buah fakulti iaitu Fakulti Sains Sosial dan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber menjadi fakulti perintis, manakala Pusat Pembelajaran Gunaan dan Multimedia dan Pusat Khidmat Maklumat Akademik ialah dua buah pusat sokongan akademik yang pertama ditubuhkan. Pembelajaran dikendalikan di Pusat Latihan Telekom di Semariang sementara menunggu kampus sementara di Kota Samarahan siap dibina. Kampus Kota Samarahan dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada Hari Kebangsaan, 31 Ogos 1993 dan mula beroperasi di Kota Samarahan apabila sebahagian besar pembinaan siap menjelang akhir 1993.

UNIMAS telah melebihi sasaran yang ditetapkan untuk pembangunan akademik pada 1994 di mana tujuh buah fakulti telah ditubuhkan dengan menawarkan 20 program prasiswazah bagi pelajar baru mendaftar pada sesi 1994/1995 menjadikan jumlah keseluruhan pelajar sebanyak 449 orang. Tahun kedua universiti juga telah menyaksikan pelancaran program-program pascasiswazah dengan kemasukan calon ijazah sarjana dan doktor falsafah. Dari segi perjawatan, secara keseluruhannya, sehingga 1994 UNIMAS telah mempunyai 341 kakitangan.

UNIMAS terus menapak dan membina jati dirinya, memperluas dan mempelbagaikan program serta memantapkan kemudahan fizikalnya di kampus sementara. Perancangan kampus tetap dijalankan dan Pelan Pembangunan telah disiapkan pada akhir tahun 1995 dan menjelang tahun 1995, tujuh buah fakulti termasuk Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan berjaya ditubuhkan dengan menawarkan 31 prasiswazah yang berinovatif. Dalam tiga tahun pertama yang berwarna-warni dan kritikal itu, UNIMAS terus berikrar mencari tempatnya dalam dunia akademik dan tempoh tersebut telah memberi keyakinan berharga untuk mengharungi cabaran menjelang alaf baru. Pada ketika itu UNIMAS telah berada di atas landasan menjadi komuniti berangkai dengan menekankan prasarana maklumat.

Tanggal 9 Ogos 1997 akan sentiasa terlipat dalam lembaran sejarah dan ingatan kerana pada hari itu telah berlangsung Majlis Konvokesyen Pertama yang penuh bersejarah dan meriah di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak. Sebanyak 153 graduan perintis daripada empat fakulti yang terdiri daripada 122 orang graduan prasiswazah dan 31 lagi graduan pascasiswazah telah menerima ijazah mereka. Graduan prasiswazah telah didedahkan kepada pengalaman kampus yang kaya, termasuk pendedahan melalui program Pembangunan Generik yang mengasah kebolehan berkomunikasi, kemahiran teknologi maklumat, serta keyakinan dan keluwesan diri, selain ilmu dan kemahiran yang diraih daripada kursus teras, akhirnya akan diuji dalam dunia sebenar.

Dua institut penyelidikan iaitu Institut Pengajian Asia Timur dan Institut Reka Bentuk dan Aplikasi Ergonomik turut ditubuhkan pada 1997. kekuatan staf pada akhir tahun 1997 ialah 642 orang.

Pada 1 Mac 1997, Y.A.B. Datuk Patinggi Pehin Sri (Dr.) Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak telah dilantik sebagai Pro Canselor manakala TYT Tun Datuk Patinggi (Dr.) Ahmad Zaidi Adruce bin Muhammed Noor telah dilantik semula sebagai Canselor. Awan mendung berarak di kampus UNIMAS dengan kembalinya ke rahmatullah, Allahyarham TYT Tun Datuk Patinggi Ahmad Zaidi Adruce bin Muhammed Noor pada 5 Disember 2000. UNIMAS telah kehilangan negarawan dan Canselor yang banyak berjasa selain kehilangan Naib Canselor pengasas, Profesor Emeritus Dato’ Ir Dr M Zawawi Ismail yang berperanan menggubal misi dan struktur akademik serta pengurusan UNIMAS kerana bersara wajib pada 16 Disember 2000. Sumbangan mereka berdua akan diukir dengan tinta emas dalam lembaran sejarah UNIMAS.

Tahun 1998 menyaksikan pertambahan tiga program baru, menjadikan jumlah program prasiswazah yang ditawarkan sebanyak 32 kesemuanya. Buat pertama kalinya pada tahun 1998 konvokesyen diadakan di kampus sementara dan menyaksikan 345 orang graduan prasiswazah dan 39 orang graduan pascasiswazah menerima ijazah masing-masing. Tahun 1998 turut menyaksikan permulaan struktur organisasi baru membolehkan universiti menjalankan tugasan pengajaran, penyelidikan dan khidmatnya dengan lebih berkesan dengan penubuhan Kumpulan Teras di setiap fakulti dan institut yang mengambil alih peranan sebuah jabatan tradisi satu disiplin di kebanyakan universiti. Dari segi penyelidikan, UNIMAS terus mara sebagai universiti yang berazam cemerlang dalam penyelidikan dan antara kejayaan cemerlangnya adalah apabila Institut Kesihatan dan Peubatan Komuniti menyelesaikan kematian misteri yang berlaku semasa wabak penyakit tangan, kaki dan mulut di Sarawak pada tahun tersebut.

Dari segi sumber manusia, sehingga Mei 2007, UNIMAS mempunyai bilangan staf seramai 1545 iaitu 606 ialah tenaga akademik sementara 939 pula tenaga pengurusan dan sokongan.

Dengan kejayaan merundingkan RM745 juta yang merupakan sebahagian inisiatif dua hala Malaysia-Jepun terhadap pemulihan ekonomi yang telah bergelora, UNIMAS kini disinari cahaya harapan ketika menjejaki hari-hari mendatang. Pembiayaan tersebut adalah untuk menyokong pembinaan Kampus Tetap yang bersifat terbuka dan kekotaan di kawasan seluas 1,040 hektar, hanya 14 km dari Bandaraya Kuching. Kerja pembinaan Kampus Tetap dilancarkan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada 13 Mei 2002.

UNIMAS terus melakar sejarah apabila perasmian Kampus Tetap telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada 18 April 2006. majlis perasmian yang diadakan gilang gemilang itu akan tetap terpahat di ingatan warga UNIMAS.

Kampus Tetap telah mula menerima penghuninya pada awal tahun 2006 dengan dimulakan oleh Pusat Khidmat Maklumat Akademik dan diikuti fakulti, institut , pusat dan bahagian yang lain. Antara ciri menarik yana terdapat di Kampus Tetap ialah mercu tanda yang boleh dilihat pada keseluruhan bangunan kampus UNIMAS. Salah satu mercu tanda yang boleh dilihat dari jauh serta dari udara ialah menara air dan tasik yang seluas 40 ekar. Bangunan-bangunannya direka berkonsepkan imej abad ke-21 yang tidak ditelan zaman.

Dengan berkonsepkan Kampus Kota, kampus ini mudah dikunjungi oleh orang ramai yang ingin menggunakan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan kerana ia berkonsep terbuka. Mal pejalan kaki dibina sebagai satu rangkaian untuk menghubungi semua bangunan bagi menjamin keselesaan pengguna jalan kaki. Kemudahan untuk golongan istimewa juga tidak ketinggalan agar mereka dapat menjalani kehidupan yang selesa di kampus.

Kampus Tetap yang mampu menampung 20,000 pelajar akan meneruskan penekanan terhadap teknologi seperti yang diamalkan sebelum ini dengan memberi keutamaan kepada teknologi ICT bukan sahaja dalam bidang pengajaran dan pembelajaran tetapi juha pengurusan. Dalam tempoh lebih sedekad ini, UNIMAS telah melalui pelbagai cabaran dan halangan dalam memperkasakan dirinya dalam bidang keilmuan untuk bersaing di persada dunia. Mudah-mudahan dengan perpindahan ke kampus tetap yang bersifat futuristik ini dapat memberi semangat baru dan lonjakan paradigma kepada semua warga UNIMAS agar bekerja lebih gigih untuk terus maju ke hadapan bagi memenuhi visi dan misinya.

sumber: http://www.unimas.my/









0 comments: